YA ALLAH AKU BERIMAN AKAN KEBENARAN SYURGAMU TAPI MENGAPA DIRI INI KERAP TERLUPA ?
Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed
Syurga menjadi negeri yang indah untuk didiami kerana seluruh penghuninya memiliki hati yang jernih dan saling mencintai. Tidak ada lagi iri hati, hasad dengki dan terkilan apabila melihat saudara atau jirannya mendapatkan nikmat. Tidak ada lagi kata-kata dosa atau ucapan tak berguna. Yang terdengar hanyalah ucapan salam yang disebutkan berulang-ulang, juga tasbih dan pujian kepada Allah sebanyak hembusan nafas.
Negeri penuh kedamaian ini terbuka hanya untuk orang yang berhati damai (qalb salim), iaitu hati yang dipenuhi keimanan kepada Khalik dan cinta kepada makhluk. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sebelum beriman. Dan iman kamu tidak akan sempurna sebelum saling mencintai. Dan mahukah kamu aku beritahukan suatu amalan yang jika dilakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.”
Jadi, hadis ini memberitahukan bahawa menyebarkan salam akan membawa ke Dar al-Salam. Namun anjuran ini tentulah bukan sekadar ucapan tanpa makna, akan tetapi diiringi tekad untuk menyebarkan kedamaian dan keselamatan kepada seluruh manusia. Sebab salam pada hakikatnya ialah doa yang kita sampaikan kepada seseorang agar diri dan agamanya diselamatkan daripada segala kerosakan, aib dan penyakit. Perkara ini sangat jelas jika kita amati satu persatu kata-kata yang terdapat dalam ucapan salam.
Imam al-Nawawi menambah, “Salam juga mengisyaratkan hilangnya permusuhan, hasad dengki, niat buruk apalagi gangguan yang hendak kita timpakan kepada orang tersebut.” Menuyebarkan salam dengan begitu, sama dengan menyebarkan kedamaian ke seluruh dunia dan membuka pintu persaudaraan kepada semua manusia.
Setiap Muslim yang memiliki kondisi hati yang damai seperti ini ditetapkan sebagai ahli syurga meskipun ia masih berjalan di muka bumi. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya daripada Anas bin Malik r.a., bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, maksudnya: “Akan datang kepada kalian seorang lelaki dari ahli syurga.” Tidak lama kemudian masuk seorang lelaki daripada kalangan Ansar. Setelah ditanya oleh Abdullah bin ‘Amr tentang amalannya, lelaki Ansar itu menjawab: “Dalam hatiku tidak pernah ada kebencian dan hasad dengki kepada seorang pun daripada kaum Muslimin.”
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lata’if al-Ma‘arif menukil ucapan ulama salaf yang berkata, “Amalan yang paling utama adalah menjaga hati, bersifat dermawan dan tulus kepada semua Muslimin. Dengan sifat-sifat inilah seseorang boleh tiba ke syurga, bukan dengan memperbanyakkan puasa atau solat (sunat).”
Prinsip yang disebutkan Ibn Rajab ini sangat penting untuk kita sebarkan kepada seluruh lapisan masyarakat kita pada hari ini. Terutama pada masa kini, setiap orang berasa dirinya memonopoli kebenaran dan membantah pendapat orang lain seolah-olah sedang berjihad menentang orang kafir. Sikap seperti ini bukan mendekatkan diri kita kepada syurga, malah menjauhkannya. Hanya hati-hati yang penuh kedamaian dan suka menebarkan kedamaian yang dapat membawa diri kita ke syurga Dar al-Salam yang kekal abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan